BERITA SEMASALUAR NEGARA

20 cedera, lelaki lepaskan 100 das tembakan rawak di Sydney

SYDNEY – Suasana di sebuah kawasan sibuk di Inner West, Sydney, gempar apabila seorang lelaki melepaskan sehingga 100 das tembakan secara rawak ke arah jalan raya hingga mencederakan 20 orang, semalam.

Menurut Polis New South Wales, insiden berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan aktiviti pengganas atau kumpulan jenayah.

Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai seorang lelaki bersenjata yang menembak ke arah kenderaan dan anggota polis yang melalui kawasan berkenaan.

Pekerja pejabat, Joe Azar berkata, dia yang berada di seberang jalan menyangka bunyi tembakan itu adalah mercun atau batu dibaling ke tingkap.

“Cermin depan sebuah kereta tiba-tiba pecah, kemudian kaca di hentian bas turut berkecai,” katanya kepada The Sydney Morning Herald, lapor AFP.

Pemangku Superintendan Polis New South Wales, Stephen Parry memaklumkan antara 50 hingga 100 das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu.

Pasukan besar polis kemudiannya mengepung kawasan terbabit sebelum menahan seorang lelaki berusia 60 tahun di sebuah unit premis perniagaan bersama dua senapang.

Suspek yang cedera ketika ditahan dibawa ke hospital untuk rawatan, namun setakat ini belum ada pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Polis turut mengesahkan seorang lelaki datang sendiri ke hospital dengan kesan tembakan dan kini dalam keadaan serius, manakala 19 lagi mangsa dirawat akibat terkena serpihan kaca atau logam.

Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon, menyifatkan kejadian itu sebagai “serius dan menakutkan”, sementara motif suspek masih belum diketahui.

Australia jarang berdepan kejadian tembakan rambang sejak larangan terhadap senjata automatik dan separa automatik diperkenalkan pada 1996 selepas tragedi Port Arthur di Tasmania yang mengorbankan 35 nyawa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button