BERITA SEMASALUAR NEGARA

Keluarga mangsa tragedi Pantai Bondi desak tubuh suruhanjaya diraja siasat antisemitisme

SYDNEY – Keluarga mangsa tembakan maut di Pantai Bondi menggesa Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja Persekutuan bagi menyiasat apa yang mereka sifatkan sebagai kebangkitan mendadak antisemitisme di negara itu.

Desakan itu dibuat susulan serangan bersenjata ketika sambutan Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney pada 14 Disember lalu, yang meragut 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain, dalam insiden yang diklasifikasikan pihak berkuasa sebagai serangan pengganas berunsur antisemitik.

Dalam tragedi tersebut, seorang lelaki bersama anaknya, Sajid dan Naveed Akram, didakwa menjadi pelaku utama yang menyasarkan acara keagamaan berkenaan di kawasan awam ikonik yang sering dikunjungi orang ramai.

Menerusi sepucuk surat yang dikeluarkan Isnin lalu, seramai 17 keluarga mangsa mendesak kerajaan persekutuan supaya segera menubuhkan suruhanjaya diraja bebas bagi meneliti peningkatan antisemitisme, selain menyiasat kegagalan pihak berkuasa, agensi perisikan dan dasar keselamatan yang didakwa menyumbang kepada tragedi itu.

“Kami menuntut jawapan dan penyelesaian. Mengapa petunjuk awal yang jelas didakwa diabaikan serta bagaimana fahaman kebencian dan ekstremisme Islam boleh berkembang tanpa tindakan berkesan,” katanya memetik laporan AFP.

Selain itu, mereka juga menuntut penjelasan mengenai perubahan yang perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Australia pada masa depan, khususnya dalam menangani ancaman keganasan bermotif kebencian.

Walau bagaimanapun, Albanese setakat ini menolak keperluan siasatan persekutuan, dengan menegaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah mengambil tindakan segera dan bukannya mewujudkan proses yang disifatkan boleh membawa perpecahan serta kelewatan.

Perdana Menteri itu sebelum ini menjelaskan suruhanjaya diraja yang dikendalikan kerajaan negeri New South Wales, lokasi kejadian, sudah memadai, manakala kerajaan persekutuan akan memberikan sokongan penuh terhadap siasatan tersebut.

Selain itu, kerajaan turut mencadangkan beberapa pembaharuan termasuk berkaitan pemilikan senjata api, undang-undang ujaran kebencian serta penilaian semula terhadap peranan pasukan polis dan agensi perisikan.

Namun, keluarga mangsa berpandangan langkah-langkah itu masih jauh daripada mencukupi bagi menangani krisis yang mereka hadapi.

“Kami kehilangan ibu bapa, pasangan, anak-anak serta datuk nenek. Mereka berada di Pantai Bondi untuk meraikan Hanukkah, satu perayaan cahaya dan kegembiraan, di tempat awam yang sepatutnya selamat,” menurut kandungan surat tersebut.

Keluarga terbabit turut menegaskan kerajaan berhutang jawapan, akauntabiliti dan kebenaran bukan sahaja kepada mereka, tetapi juga kepada seluruh rakyat Australia.

Menyifatkan peningkatan antisemitisme sebagai satu krisis nasional, mereka memberi amaran bahawa ancaman itu tidak akan lenyap tanpa tindakan tegas dan kepimpinan yang jelas.

“Kami perlukan tindakan sekarang. Nyawa orang tersayang kami tidak dapat dikembalikan, tetapi dengan Suruhanjaya Diraja Persekutuan yang dipimpin secara berkesan, mungkin lebih banyak nyawa dapat diselamatkan,” kata mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, salah seorang suspek, Sajid Akram, 50, ditembak mati oleh polis ketika serangan berlaku.

Lelaki itu merupakan warganegara India yang memasuki Australia pada 1998 menggunakan visa.

Anaknya, Naveed Akram, 24, warganegara Australia yang dilahirkan di negara itu, kini ditahan di penjara dan berdepan pelbagai pertuduhan termasuk keganasan, 15 tuduhan membunuh, melakukan tindakan pengganas serta menanam bahan letupan dengan niat mencederakan orang awam.

Naveed bagaimanapun masih belum membuat sebarang pengakuan terhadap semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button