Greens kecam keputusan Australia hantar tentera, peluru berpandu ke UAE
CANBERRA – Parti sayap kiri, Greens mengecam keputusan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese untuk menghantar sokongan ketenteraan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sambil menyifatkan langkah itu sebagai tindakan yang boleh memburukkan lagi konflik di Asia Barat.
Ketuanya, Larissa Waters berkata, Australia sepatutnya menggesa usaha damai, bukannya menghantar senjata.
“Kita sepatutnya menggesa keamanan, bukan menghantar peluru berpandu,” katanya memetik laporan Al Jazeera.
Menurut beliau, rakyat Australia tidak mahu negara itu terheret dalam konflik yang didakwa sebagai perang haram terhadap Iran yang melibatkan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Australia tidak mahu ditarik ke dalam perang yang berpanjangan. Parti Buruh tidak sepatutnya menghantar tentera untuk membantu pasukan ketenteraan yang didakwa membunuh 150 kanak-kanak sekolah dalam pengeboman sebuah sekolah rendah,” tegas beliau.
Waters berkata, tindakan itu hanya akan meningkatkan lagi konflik yang sudah semakin tidak terkawal dan berisiko menyebabkan Australia terperangkap dalam satu lagi perang berpanjangan.
Greens turut mendakwa hampir 100 anggota tentera Australia akan dihantar bersama peralatan ketenteraan ke UAE.
Malah, Waters turut mempersoalkan keperluan menghantar peluru berpandu jika tujuan sebenar adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Australia di negara itu.
Terdahulu, Albanese memaklumkan bahawa Australia akan menghantar sebuah pesawat pengawasan ketenteraan ke Asia Barat susulan permintaan daripada UAE, selain turut menempatkan peluru berpandu ke udara jarak sederhana bagi menyokong operasi tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








