BERITA SEMASADALAM NEGERI

Anugerah Pendidik Global lonjak Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa

TANJONG MALIM – Malaysia mengambil langkah proaktif mengukuhkan kedudukan di persada pendidikan dunia melalui penganjuran sulung Anugerah Pendidik Global (GEA).

GEA merupakan inisiatif strategik yang bertujuan menjadikan negara sebagai hab kecemerlangan pendidikan antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, anugerah anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu merupakan platform untuk menghimpunkan pendidik berkaliber dari seluruh dunia.

Anugerah Pendidik Global
Zambry menyampaikan ucapan perasmian pada majlis GEA.

“Anugerah ini sekali gus membuka ruang kerjasama, memperkukuh hubungan profesional dan memastikan bilik darjah di Malaysia selari dengan perkembangan pendidikan global.

“GEA adalah bukti komitmen Malaysia dalam membina jaringan pendidikan yang kuat serta menyokong para pendidik untuk terus memberi inspirasi dan impak kepada generasi akan datang,” kata Zambry dalam ucapan perasmiannya di sini, malam tadi.

Edisi sulung GEA mencatat 244 pencalonan daripada 57 negara dengan 16 finalis terbaik dari 9 negara bersaing untuk meraih pengiktirafan tertinggi dalam pelbagai kategori.

Antara penerima anugerah ialah Deep Narayan Nayak dari India yang dikenali sebagai Teacher of the Streets dengan pengiktirafan Anugerah Guru Avant-Garde.

Cheah Gaik Imm dari SJKC Chung Hwa, Langkawi pula memenangi Anugerah Pemimpin Pendidikan Berinspirasi.

Sementara itu, Prof Julio Manuel Pereyra dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pendidik Jangkauan Komuniti manakala African Leadership Academy dari Afrika Selatan menerima Anugerah Institusi Pendidikan Bertransformasi.

Tidak ketinggalan, Prof Dr Pasi Sahlberg dari University of Melbourne, Australia meraih Anugerah Pendidik Guru Terhormat.

Kesemua pemenang anugerah menerima wang tunai bernilai antara AS$5,000 (RM21,000) dan AS$10,000 (RM42,000).

Inisiatif itu selari dengan dasar negara seperti Falsafah MADANI dan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang menekankan sistem pendidikan berorientasikan masa depan serta berpaksikan nilai integriti dan etika.

“Melalui GEA, Malaysia bukan sahaja meraikan jasa para pendidik tetapi juga aktif menyumbang kepada naratif pendidikan global sambil memperkukuh hubungan diplomasi melalui kuasa lunak (soft power) pendidikan,” tambah Zambry.

Anugerah Pendidik Global
Penganjuran edisi sulung Anugerah Pendidik Global ini dilaksanakan oleh UPSI.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim; Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI (Pemangku), Prof Emerita Dr Roziah Omar dan Naib Canselor UPSI, Datuk Prof Dr Md Amin Md Taff.

Penganjuran GEA bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada para pendidik, malah membuka peluang kepada Malaysia untuk menjadi pemacu pendidikan antarabangsa yang berdaya saing.

Ia juga memperlihatkan bagaimana negara boleh menggabungkan kepakaran pendidik tempatan dan antarabangsa untuk membentuk sistem pendidikan yang inovatif dan relevan dengan cabaran global.

Dengan inisiatif itu, Malaysia diharap mampu menjadi hab pendidikan yang bukan sahaja menghasilkan pendidik berkaliber tinggi tetapi juga menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berpengetahuan luas, beretika dan mampu bersaing di peringkat global

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button