11 lagi kapal belayar ke Gaza cabar sekatan Israel
GAZA – Sebanyak 11 kapal lagi sedang berlayar menuju Semenanjung Gaza dalam misi mencabar sekatan rejim Israel yang berlarutan sejak hampir dua dekad.
Menurut pertubuhan antarabangsa Freedom Flotilla Coalition (FFC), dua bot mengibarkan bendera Itali dan Perancis berlepas dari Otranto, Itali pada 25 September lalu sebelum disertai kapal Conscience pada 30 September.
“Kapal-kapal berkenaan dijangka bergabung dengan satu lagi konvoi lapan buah bot, Thousand Madleens to Gaza,” kata FFC, lapor Anadolu Ajansi semalam.
FFC yang ditubuhkan pada 2008 telah melancarkan puluhan misi bagi menghantar bantuan serta menarik perhatian global terhadap krisis kemanusiaan di Gaza yang dikepung Israel.
Konvoi terbaharu itu turut menyusul sehari selepas pasukan tentera laut Israel menyerang dan merampas 42 bot yang belayar ke Gaza, selain menahan lebih 450 aktivis di atas kapal yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Israel sebelum ini kerap menyerang kapal menuju Gaza, merampas kargo bantuan serta menghantar pulang aktivis.
Rejim itu terus mengekalkan sekatan ke atas wilayah yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk sejak 18 tahun lalu.
Israel mengetatkan sekatan pada Mac lalu dengan menutup lintasan sempadan dan menghalang penghantaran makanan serta ubat-ubatan hingga mencetuskan kebuluran.
Sejak Oktober 2023, pengeboman Israel meragut lebih 66,200 nyawa rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi berulang kali memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kehancuran dengan kebuluran serta penyakit semakin merebak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








