BERITA SEMASADALAM NEGERI

MAWIM kecam tindakan biadap Israel halang konvoi flotila ke Gaza

KUALA LUMPUR – Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap rejim Zionis Israel yang menyekat dan menahan aktivis serta sukarelawan kemanusiaan termasuk wanita dalam misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pengerusinya, Prof. Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain, MAWIM menegaskan konvoi berkenaan bukan sekadar menghantar bekalan bantuan malah membawa mesej kasih sayang, solidariti dan harapan umat manusia untuk rakyat Palestin.

“Dunia menyaksikan kezaliman Israel berlaku saban hari, terutama pembunuhan dan penindasan berterusan terhadap wanita, para ibu serta kanak-kanak di Gaza.

“Wanita bukan hanya penerima kesedaran isu Palestin tetapi penggerak suara keadilan. Apabila bantuan disekat, kapal dihalang berlabuh dan suara tertindas disenyapkan, maka suara wanita Islam wajib lantang melaungkan keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuriati Ahmad
Zuriati Ahmad

Menurut beliau, wanita mempunyai peranan penting dalam menggerakkan solidariti kemanusiaan termasuk melalui advokasi, penyebaran maklumat, sokongan psikososial dan penyertaan langsung di lapangan konflik.

Dalam pada itu, MAWIM turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten menyokong konvoi Global Sumud Nusantara serta usaha antarabangsa menamatkan kekejaman dan sekatan tidak berperikemanusiaan.

“Suara kepimpinan negara dan suara wanita Islam Malaysia bergema seiring demi menegakkan keadilan dan kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

MAWIM turut menyeru masyarakat, khususnya wanita Islam, untuk terus mengutuk tindakan genosid Israel dan mendukung usaha solidariti kemanusiaan demi membela nasib rakyat Palestin tanpa mengira jantina, bangsa, negara atau agama.

“Semoga Allah SWT melindungi para sukarelawan, meringankan penderitaan rakyat Gaza serta memberi kemenangan kepada keadilan dan keamanan.

“Usaha ini menjadi amal jariah dan dakwah bersama,” kata Zuriati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button