Wanita kongsi kebaikan ADUN Duyong beri homestay ketika ayah masuk ICU
MELAKA – Seorang netizen berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Halem membantu menyediakan homestay buat keluarganya selepas ayahnya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Alor Gajah ketika mereka bercuti di Melaka.
Menurut perkongsian Weeya Mamazarif itu, keluarganya berada dalam keadaan cemas dan tidak bersedia apabila ayahnya tiba-tiba jatuh sakit sehingga terpaksa dirawat di hospital dan ditidurkan.
“Ketika itu kami sekeluarga buntu memikirkan tempat tinggal kerana perlu berada lebih lama di Melaka.
“Alhamdulillah, YB Duyong segera membantu mencarikan homestay agar kami selesa dan tenang menjaga ayah di hospital,” katanya.
Tambahnya, bantuan itu dianggap sebagai satu rahmat besar dan membuktikan keprihatinan wakil rakyat berkenaan terhadap kesusahan orang lain tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy yang berkongsi semula hantaran itu berkata, walaupun lokasi rumah transit agak jauh dari hospital di Alor Gajah, ia masih menjadi penyelesaian terbaik untuk keluarga itu.
Malah, beliau sempat menziarahi keluarga berkenaan sebelum mereka pulang ke Pahang.
“Pengalaman baru saya ni. Orang lain datang Melaka bercuti, pakcik datang Melaka ‘tidur’,” katanya dalam nada lelucon.
Melalui hantaran itu, beliau turut menyelitkan jenaka bersahaja mengenai sejarah tempatan.
“Hang Tuah asalnya duk Duyong ni. Kalau dulu Hang Tuah berdosa sebab culik Tun Teja bawa lari ke Melaka, kira settle la ya,” tulisnya lagi.
Perkongsian itu tular di media sosial dan menerima pujian warganet atas keprihatinan dan layanan mesra yang diberikan oleh wakil rakyat tersebut terhadap keluarga yang memerlukan bantuan sewaktu kesusahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







