Haiwan tidak dibenar dalam premis makanan – MBMB
MELAKA – Isu kehadiran haiwan alpaca di sebuah premis makanan di negeri ini mendapat perhatian serius apabila pihak berkuasa tempatan menegaskan bahawa meletakkan haiwan di kawasan perniagaan makanan adalah satu kesalahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Halem berkata, perkara itu dimaklumkan semasa beliau mengadakan lawatan bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman ke premis berkenaan.
“Premis terbabit belum beroperasi untuk hari ini dan lawatan susulan akan dibuat pada waktu petang atau malam.
“Dari pihak MBMB, meletakkan haiwan di premis perniagaan makanan tetap tidak dibenarkan walaupun dipisahkan dengan dinding atau pintu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, dari segi permit serta kesesuaian lokasi bagi menempatkan haiwan seperti alpaca, masih belum ada jawapan jelas daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, penyelarasan antara agensi berkaitan akan dilakukan oleh MBMB bagi memastikan garis panduan yang lebih teratur dapat diwujudkan.
“Isu ini bukan sekadar melibatkan alpaca semata-mata, tetapi akan dijadikan rujukan pada masa hadapan untuk haiwan lain.
“Hari ini mungkin makan ditemani kucing atau alpaca, tetapi jika tiada kawalan yang jelas, esok lusa mungkin ada yang bawa masuk gajah atau harimau pula ke dalam premis makanan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








