LUAR NEGARA

Jururawat di Thailand terkejut, mangsa kemalangan rupanya teman lelaki sendiri

AYUTTHAYA, Thailand – Seorang jururawat tidak menyangka lelaki cedera parah yang dibantunya dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya 347, di sini adalah teman lelakinya sendiri.

Insiden menyayat hati itu berlaku sekitar tengah malam pada 6 September lalu, lapor South China Morning Post.

Menurut laporan media tempatan, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi putih dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik di pembahagi jalan.

Hentaman kuat itu merosakkan keseluruhan bahagian kanan kenderaan, menyebabkan pemandu berusia 42 tahun tersepit dalam remukan besi.

Jururawat Thailand
Anggota keselamatan berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut.

Pasukan penyelamat Ayutthaya segera tiba di lokasi dan menggunakan peralatan hidraulik untuk mengeluarkan mangsa.

Pada masa sama, seorang jururawat kecemasan yang baru tamat syif di Hospital Ayutthaya kebetulan melalui kawasan berkenaan dan terus berhenti untuk membantu.

Namun, sebaik melihat wajah mangsa, jururawat tersebut tidak dapat menahan sebak apabila mendapati lelaki yang sedang nazak itu adalah teman lelakinya sendiri.

Difahamkan, kedua-duanya baru sahaja tamat bertugas di hospital yang sama dan dalam perjalanan pulang dengan mangsa memandu di hadapan sebelum kemalangan berlaku.

Saksi memaklumkan, meskipun dirundung kesedihan, jururawat itu tetap meneruskan usaha menyelamat dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR) terhadap teman lelakinya, malah masih cuba menyelamatkannya ketika dibawa ke hospital.

Namun, segala usaha tersebut gagal apabila mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Polis kini sedang menyiasat punca sebenar kemalangan.

Kisah tragis yang dilaporkan akhbar harian Khaosod itu mencetuskan gelombang simpati dalam talian dengan ratusan ucapan takziah membanjiri media sosial.

Seorang pengguna menulis: “Sukar dibayangkan betapa hancurnya hati kamu ketika itu. Semoga cinta beliau terus menjadi peneman dan penguat semangatmu.”

“Trauma psikologi yang dialami pasti berat. Saya juga pernah menemui suami selepas kemalangan di tepi jalan. Setiap kali menunggang skuter kini saya masih dihantui rasa cemas,” komen seorang pengguna lain.

“Kebaikan hati kamu memberi peluang untuk menemani teman lelaki di saat-saat akhir hidupnya. Dia masih sempat melihatmu sebelum pergi meninggalkan dunia ini,” tulis netizen lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button