PRU-16 : Masa untuk PAS pimpin PN – Mursyidul Am
ALOR SETAR – Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menegaskan sudah tiba masanya PAS tampil sebagai peneraju utama Perikatan Nasional (PN) serta meletakkan calon Perdana Menteri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, langkah itu bertepatan dengan usul yang dibawa Dewan Pemuda PAS Pusat semalam, yang disifatkan sebagai relevan dan mampu menjadi pemangkin kepada kemenangan PN pada pilihan raya akan datang.
“Saya sendiri pernah menyuarakan perkara ini sejak dua tahun lalu bahawa dalam PN perlu ada satu keputusan dasar selepas perundingan dilakukan dengan parti komponen.
“Tidak sepatutnya ada pihak yang membuat pengumuman tanpa terlebih dahulu bermesyuarat,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali Ke-64 di Maahad Darul Hadis, Kampung Tok Keling di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya bersama 606 perwakilan dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Hashim menegaskan beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi, sebaliknya semua pandangan yang disuarakan bertujuan memperkukuh kedudukan parti.
“Banyak keputusan sebelum ini dibuat seolah-olah tiada rundingan bersama parti komponen dalam PN. Sebab itu saya menyokong penuh usul Dewan Pemuda semalam.
“Kita yakin dengan kejayaan menguasai empat negeri, kekuatan jentera dan kesediaan anggota, hasrat ini boleh direalisasikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








