BERITA SEMASA

Tiga warga Myanmar ditemukan maut dalam MPV

BATU PAHAT – Tiga warga Myanmar yang ditemukan maut di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Yong Peng, malam tadi diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemukan pada ketiga-tiga mangsa.

“Setakat ini, polis buka kertas siasatan sebagai mati mengejut. Namun, semuanya bergantung kepada laporan bedah siasat” katanya.

Shahrulanuar berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Taman Air Biru, Pasir Gudang .

“Rekod diperolehi mendapati mereka mempunyai pasport dan bekerja di sana (Pasir Gudang),” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam tadi, tiga termasuk seorang wanita Myanmar ditemui oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam MPV berkenaan di R&R Yong Peng arah Selatan.

Orang awam kemudian bertindak memecah cermin MPV itu.

Bagaimanapun, pasukan perubatan yang tiba di lokasi membuat pemeriksaan dan mendapati ketiga-tiganya sudah meninggal dunia.

Mangsa lelaki dikenali sebagai Myo Htet, 25, dan Zaw Naing Oo, 23.

Manakala identiti manga wanita dikenalpasti sebagai Khin Mar Yee berusia 27 tahun.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button