Berita Semasa

Jauhi fikiran sempit dan negatif, tidak datangkan faedah pada negara – Seri Paduka

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru supaya menjauhi perasaan hasad dengki dan amalan fitnah memfitnah.

Seruan tersebut terkandung dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Baginda turut menitahkan supaya rakyat tidak berfikiran sempit dan negatif kerana sifat dan amalan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.

“Beta ingin mengajak seluruh rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah Seri Paduka.

Turut berangkat ke majlis tersebut, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sempena sambutan itu hari ini, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya semangat dan roh peristiwa Hijrah dijelmakan dalam bentuk kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi.

Titah Seri Paduka, sejarah penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun yang lepas, adalah semangat hijrah yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat negara ini bersama-sama menghayati tema sambutan Maal Hjrah peringkat kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

“Justeru, beta menghargai usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani bagi membentuk masyarakat yang menghayati nilai-nilai ihsan mendukung prinsip keadilan dan mengamalkan semangat toleransi.

“Beta turut menghargai pelaksanaan pelan transfomasi hal ehwal agama menuju Malaysia Madani sebagai langkah proaktif untuk menjayakan agenda pembangunan dan pembaharuan ummah,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Show More

Related Articles

Back to top button