Terima wang dari sewaan tanah kerajaan, anggota bomba direman SPRM
KANGAR – Seorang anggota bomba ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa berkaitan sewaan tanah jabatan untuk tujuan penanaman padi pada 2023 dan 2024.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perintah reman terhadap lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor, selepas permohonan dibuat SPRM Perlis.
“Suspek ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di Pejabat SPRM Perlis ketika hadir memberi keterangan,” kata sumber berkenaan.
Hasil siasatan awal mendapati, ketika memegang jawatan sebagai ketua balai bomba di Perlis, suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk menyewakan sebahagian tanah milik jabatan kepada seorang pesawah.
Suspek didakwa meminta bayaran sewa sebanyak RM12,000 bagi empat musim penanaman padi, iaitu RM3,000 setiap musim dan dipercayai menerima wang tersebut secara tunai.
Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna jawatan untuk kepentingan peribadi.
Sebelum ini, pada 11 Februari lalu, media melaporkan lelaki sama pernah direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai kira-kira RM30,000 melibatkan kehadiran kerja anggota bantuan di balai antara November 2023 hingga Februari 2024.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








