BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tian Chua dakwa Suria KLCC larang simbol berkait Palestin

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen PKR, Tian Chua mendakwa pihak keselamatan Suria KLCC menghalang kemasukan orang awam yang memakai simbol berkaitan Palestin termasuk lencana, keffiyeh serta membawa plakad dan bendera.

Menurut Tia Chua, insiden itu berlaku selepas perhimpunan Anti-Trump kelmarin apabila beberapa individu cuba memasuki KLCC untuk ke tandas, makan atau membeli-belah, namun dihalang kerana membawa lambang Palestin.

“Saya mengingatkan mereka bahawa mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menentukan apa yang boleh dipakai atau dibawa oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, keadaan menjadi tegang apabila seorang pegawai keselamatan dikenali sebagai Hafiz merampas sebatang bendera Palestin daripada seorang wanita.

“Saya membantah keras, menegaskan bahawa pegawai keselamatan tidak mempunyai hak undang-undang untuk merampas barangan peribadi.

“Saya mengambil bendera tersebut ke dalam pegangan saya, menyatakan bahawa saya sendiri akan membawanya keluar, dan enggan menyerahkannya kepada pihak keselamatan,” ujarnya.

Selain itu, beliau mendakwa turut ditolak secara fizikal oleh pegawai keselamatan ketika cuba mempertahankan bendera berkenaan sebelum akhirnya hanya kayu pemegang dirampas, manakala beliau membawa keluar bendera tersebut.

Sehubungan itu, Tian Chua menuntut Suria KLCC menyiasat tindakan pegawai terbabit, memperbetulkan protokol keselamatan, serta memohon maaf secara terbuka kepada peserta yang terjejas.

“Saya amat berharap insiden ini berpunca daripada tindakan keterlaluan pegawai tertentu, dan bukannya satu dasar yang disengajakan untuk menyekat solidariti terhadap Palestin,” katanya.

Katanya, pengurusan Suria KLCC wajar menyelaraskan pendirian dengan dasar rasmi kerajaan yang konsisten menyokong rakyat Palestin.

“Biarlah insiden ini menjadi peringatan terakhir bahawa solidariti tidak boleh ditekan atau disekat,” tegasnya.

Baca juga : Suria KLCC nafi halang peserta pro-Palestin masuk pusat beli-belah

Semalam, Suria KLCC mempertahankan tindakan anggota keselamatannya susulan dakwaan peserta perhimpunan pro-Palestin dihalang memasuki pusat beli-belah berkenaan.

Mengulas mengenai sebuah video tular di media sosial yang menunjukkan pertelingkahan antara anggota keselamatan dengan aktivis Tian Chua, Suria KLCC menjelaskan, tindakan itu dibuat mengikut garis panduan keselamatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button