Ziarah Kasih Maulidur Rasul: Lebih 60 pesakit terlantar terima zakat
SIK – Lebih 60 pesakit terlantar di sekitar 20 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek di sini menerima sumbangan zakat menerusi program Ziarah Kasih Maulidur Rasul anjuran Pertubuhan Muafakat Anak Muda Sik Kedah (PEMASIK).

Pengerusi PEMASIK, Azran Fitri Abdul Rahim berkata, program yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu itu dilaksanakan dengan kerjasama seorang usahawan muda dari Kuala Lumpur serta sokongan pemimpin setempat.
“Setiap pesakit menerima sumbangan tunai sebanyak RM500. Kami berterima kasih kepada usahawan yang tampil membantu dan mendoakan agar beliau dimurahkan rezeki serta terus berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, penganjuran program itu bertepatan dengan sambutan Maulidur Rasul yang bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya ruang untuk bermuhasabah terhadap ajaran Nabi Muhammad SAW.
“Pendekatan ini membolehkan kita mendekati golongan yang memerlukan, khususnya pesakit yang terlantar sakit sekian lama. Ia memberi peluang kepada semua pihak menilai kembali amalan harian agar sambutan Maulidur Rasul lebih bermakna.

“Kami berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung penerima,” katanya lagi.
Azran Fitri turut menyeru lebih banyak pihak tampil bekerjasama dengan PEMASIK bagi memperluas bantuan kepada golongan yang memerlukan di daerah Sik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














