LUAR NEGARA

PM Jepun umum letak jawatan

TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba mengumumkan peletakan jawatan beliau, semalam.

Pengumuman itu dibuat Ishiba menerima desakan kuat dalam kalangan ahli partinya yang mahu mengadakan pemilihan kepimpinan baharu selepas kekalahan teruk dalam pilihan raya Dewan Atasan, lapor portal SCMP.

Keputusan itu juga dibuat kurang setahun selepas pemimpin berusia 68 tahun itu mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang telah lama mendominasi politik Jepun.

Sejak itu, beliau telah kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen.

Sementara itu, rangkaian televisyen NHK pula melaporkan, Ishiba membuat keputusan itu bagi mengelakkan perpecahan dalam parti, manakala akhbar Asahi Shimbun pula melaporkan bahawa beliau tidak mampu bertahan dengan desakan semakin meningkat agar meletak jawatan.

Menteri Pertanian bersama seorang bekas perdana menteri dilaporkan bertemu Ishiba malam kelmarin untuk menggesanya berundur secara sukarela.

Minggu lalu, empat pegawai kanan LDP termasuk orang nombor dua parti tersebut, Hiroshi Moriyama, telah menawarkan untuk meletakkan jawatan.

Penentang Ishiba sebelum ini mendesak beliau berundur sebagai tanda bertanggungjawab terhadap keputusan pilihan raya selepas undian di Dewan Atasan Julai lepas.

Ahli parlimen LDP serta pegawai wilayah di seluruh Jepun yang mahu pemilihan kepimpinan baharu akan mengemukakan permohonan hari ini .

Pemilihan kepimpinan akan diadakan sekiranya majoriti diperlukan berjaya dicapai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button