BERITA SEMASA

MINDEF nyata sokongan penuh penganjuran DSA 2026

PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan komitmen penuh dalam menyokong penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026, yang dijadual berlangsung di MITEC Kuala Lumpur, tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Defence Services Asia Exhibition and Conference Sdn. Bhd. (DSA Exhibition and Conference) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin, semalam.

“Pertemuan ini memberi peluang untuk saya meneliti secara lebih dekat perancangan serta persediaan menjelang penganjuran DSA 2026,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, DSA yang dianjurkan secara dwitahunan sepenuhnya oleh pihak penganjur tanpa menggunakan dana kerajaan merupakan salah satu pameran pertahanan paling berprestij di rantau ini dan telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya pameran ini bukan sahaja signifikan untuk Kementerian Pertahanan, tetapi turut menjadi pemangkin penting kepada perkembangan industri pertahanan tempatan serta menyumbang kepada kepentingan negara,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa MINDEF akan bekerjasama rapat dengan pihak penganjur bagi memastikan kelancaran serta kejayaan DSA 2026.

Penganjuran DSA 2026 dengan tema “Building Resilient Nations for the Next Generation” juga diharap dapat dijadikan platform strategik kerjasama dan inovasi industri pertahanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button