ADUN Duyong rayu bantuan kanak-kanak hidap barah saraf tahap empat
MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem merayu orang ramai membantu keluarga Yuraimi Yusof untuk menampung kos rawatan anak bongsunya, Aqra Rizki, 5, yang disahkan menghidap barah saraf tahap empat.
Katanya, pertemuan bersama keluarga itu diadakan di Grand Swiss-Belhotel Melaka baru-baru ini apabila Yuraimi bersama isteri dan dua anaknya datang menaiki sebuah motosikal dari Alor Gajah.
“Mereka dulu ada kereta tetapi terpaksa dijual untuk menampung kos kehidupan. Anak perempuannya yang berusia sekitar 9 atau 10 tahun duduk di sebelah saya, perlahan-lahan menjamah kek yang dihidangkan. Nampak ada keinginan untuk makan, tetapi mungkin segan.
“Depan saya pula Aqra Rizki, hanya diam, wajahnya suram menanggung penderitaan dan seolah faham masa depan yang bakal dihadapinya.
“Di sebelah kiri saya, si bapa Yuraimi Yusof kelihatan sugul, berlinang air mata dengan penuh pengharapan mencari bantuan bagi menampung baki kos rawatan berjumlah RM210,000,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Jelas Mohd Noor Helmy, bapa Aqra menghubunginya selepas mendapat nombor telefon daripada ahli kumpulan Facebook Kami Anak Melaka dan keluarga Sumayyah, kanak-kanak yang sebelum ini dibantu rakyat Malaysia sehingga berjaya mengumpul RM350,000 untuk rawatan dalam tempoh sebulan.
“Yuraimi maklumkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sudah menyalurkan bantuan bulanan, manakala permohonan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih dalam proses.
“Dia datang jauh menaiki motosikal untuk bertemu saya hanya kerana mahu meminta panduan bagaimana untuk mendapatkan sumbangan bagi rawatan Aqra. Malah, dia juga berharap kisah anaknya dapat diviralkan seperti kes Sumayyah dahulu,” katanya.
Tambahnya, beliau berjanji akan membantu sedaya upaya menyebarkan maklumat mengenai Aqra meskipun mengakui dirinya mengambil sedikit masa kerana bimbang tidak mampu menunaikan harapan tinggi keluarga tersebut.
“Untuk keterangan lanjut mengenai keadaan sakit Aqra, boleh rujuk tangkap layar yang dilampirkan. Bagi sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan, ia boleh dibuat melalui akaun Bank Islam atas nama Yuraimi Yusof (No akaun: 04024029371297, No telefon: 018-7636205).
“Minta jasa baik semua untuk bantu dalam hebahan ini. Hari ini nasib mereka, esok lusa kita belum tahu nasib kita pula,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








