BERITA SEMASALUAR NEGARA

Global Sumud Flotilla: Pelayaran membawa nama Malaysia

PUTRAJAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla bukan sekadar pelayaran biasa, sebaliknya membawa maruah negara dan suara kemanusiaan dengan tekad untuk memecahkan kepungan haram Israel ke atas Gaza.

Semalam, kapal-kapal yang membawa sukarelawan dan bekalan bantuan berlepas dari Pelabuhan Barcelona sekitar pukul 3.30 petang waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia), menurut perkongsian di Instagram Sumud Nusantara Official.

Global Sumud Flotilla
Dua buah kapal yang turut menyertai pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla untuk membantu rakyat Palestin.

Perlepasan itu disaksikan ratusan aktivis, sukarelawan dan penyokong yang bersorak memberikan semangat kepada kru flotila sebelum berangkat menuju destinasi bersejarah.

“Seramai 15 peserta daripada Malaysia telah menyertai misi bersejarah ini, pelayar yang tidak membawa senjata tetapi hanya membawa bekalan bantuan untuk penduduk Gaza.

“Doakan pelayaran mereka selamat dan berjaya memecah kepungan Gaza yang telah sekian lama ditindas,” menurut kapsyen video yang dimuat naik.

Global Sumud Flotilla
Dr Sany Araby hadir di Barcelona memberi kata-kata semangat buat peserta misi tersebut.

Antara selebriti negara yang menyertai misi tersebut ialah penyanyi Zizi Kirana; pelakon, Ardell Aryana serta Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan.

Sebelum perlepasan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Sany Araby merangkap Pengarah Bersama Sumud Nusantara turut hadir di Barcelona untuk menyampaikan amanat serta pesan terakhir kepada para peserta.

Sementara itu, CEO Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzaman berkongsi perasaan sebaik bot terakhir yang dinaiki dua rakyat Malaysia berlepas dalam misi tersebut.

Global Sumud Flotilla
Nadir berucap pada majlis pelepasan Global Sumud Flotilla semalam.

“Terlalu berkecamuk emosi untuk saya ceritakan apa yang kami alami di sini.

“Cukup untuk saya katakan, lebih 10 tahun berjuang untuk Palestin, tak pernah sedekat ini pembebasan itu dirasai seolah sudah berada di dalam genggaman.

“Salahuddin Al-Ayyubi zaman kita bukan satu manusia sahaja, tetapi dia kamu, mereka dan saya, dia kita semua.

“Banyak lagi akan dikongsikan segera, tetapi untuk hari ini, salam Merdeka Malaysia, salam Merdeka Palestin,” tulisnya di saluran Telegram rasmi beliau.

Misi itu menjadi simbol solidariti dan keberanian di mana para peserta bukan sahaja membawa bantuan, tetapi juga membawa harapan serta suara umat manusia untuk membebaskan Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button