BERITA SEMASA

Ada orang benci bila sebut kita warisi hutang lebih RM1.5 trilion tapi itu kenyataan – PM

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI berjaya menurunkan defisit fiskal saban tahun tanpa menjejaskan kebajikan rakyat dan peruntukan negeri, termasuk negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengurangkan beban hutang negara yang diwarisi kerajaan ketika ini, iaitu lebih RM1 trilion.

“Ada orang mual dan benci bila saya sebut kita warisi hutang negara lebih RM1.5 trilion. Itu kenyataan. Kalau hutang naik sampai RM1.7 atau RM1.8 trilion, mampukah anak-anak kita membayarnya? Sebab itu tata kelola mesti berlandaskan disiplin fiskal.

“Dalam masa kita turunkan defisit, gaji dan perbelanjaan bagi semua negeri tetap naik. Tetapi ada yang masih mendakwa kita zalim dan menindas.

“Hakikatnya angka di Parlimen jelas menunjukkan sebaliknya,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, Anwar menyeru penjawat awam agar terus berkhidmat dengan penuh integriti, disiplin dan semangat berpasukan dalam melaksanakan agenda MADANI meliputi aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan serta sosial demi kesejahteraan rakyat.

“Kita harus terus bekerja sebagai satu pasukan, menjaga perpaduan dan mempertahankan negara ini.

“Percayalah, ramai yang cemburu dengan keamanan, kejayaan dan kemakmuran Malaysia. Pertahankanlah dengan segala tenaga kita,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button