BERITA SEMASALUAR NEGARA

Paetongtarn dilucut jawatan PM Thailand selepas didapati bersalah

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand yang digantung tugas, Paetongtarn Shinawatra, dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan hari ini selepas didapati bersalah atas salah laku etika berhubung panggilan telefon dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Keputusan itu sekali gus menjadikan Paetongtarn, 39, sebagai Perdana Menteri kelima sejak 2008 yang digugurkan melalui keputusan mahkamah.

Panel sembilan hakim yang dikaitkan dengan pengaruh konservatif dan pro-royalis Thailand memutuskan bahawa perbualan beliau dengan Hun Sen pada Jun lalu melanggar standard etika seorang ketua kerajaan.

Mahkamah menegaskan tindakan itu mementingkan kepentingan peribadi serta mencalarkan imej negara, menurut laporan Al-Jazeera hari ini.

Dalam rakaman yang bocor, Paetongtarn memanggil Hun Sen sebagai “bapa saudara” selain mengkritik seorang komander kanan tentera Thailand yang disifatkannya sebagai “lawan”.

Pertikaian sempadan yang menjadi topik perbualan itu kemudiannya mencetuskan pertempuran bersenjata sehingga meragut puluhan nyawa serta memaksa puluhan ribu penduduk di kedua-dua belah sempadan berpindah.

Konflik tersebut akhirnya ditamatkan melalui gencatan senjata yang diusahakan Malaysia pada 29 Julai lalu.

Paetongtarn digantung tugas pada 1 Julai sementara menunggu keputusan perbicaraan, sebelum mahkamah hari ini mengesahkan pelucutan jawatannya.

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan diumumkan, beliau menegaskan niatnya adalah untuk melindungi kepentingan negara dan menyeru semua pihak politik bekerjasama membina kestabilan.

“Keputusan hari ini mengubah landskap politik Thailand. Semua pihak, sama ada kerajaan, pembangkang atau rakyat, mesti bersatu memastikan kestabilan politik dan mengelak krisis berulang,” katanya.

Keputusan itu merupakan yang kedua daripada tiga kes berprofil tinggi melibatkan keluarga Shinawatra.

Minggu lalu, bapanya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, 76, dilepaskan daripada tuduhan menghina monarki, namun masih berdepan prosiding berhubung layanan istimewa ketika menjalani hukuman penjara selepas pulang dari buangan pada 2023.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button