BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Rukun Negara wajib jadi pegangan utama rakyat

KUALA LUMPUR – Lima prinsip Rukun Negara yang menjadi ikrar pada setiap pagi sejak dari hari pertama persekolahan bukan sekadar rangkap kata, tetapi merupakan falsafah yang membentuk cara hidup rakyat Malaysia.

Selepas 55 tahun diisytiharkan, ia kekal relevan sebagai panduan moral dan asas perpaduan dalam negara yang dihuni masyarakat berbilang kaum ini.

Bagi memastikan semangat itu terus subur, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sempena ulang tahun ke-55 Rukun Negara tahun ini.

Kempen Taat Setia Rukun Negara akan berlangsung dari 1 Ogos sehingga 16 September 2025.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kempen itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan usaha menyemai semula rasa kekitaan, kesedaran sivik dan patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Ia bertujuan menghidupkan kembali rasa bangga dan cinta kepada negara, terutama dalam kalangan generasi muda yang mungkin semakin jauh daripada menghayati sejarah serta makna lima prinsip tersebut.

“Lebih lima dekad ia kekal sebagai kerangka nilai untuk membentuk rakyat yang bersatu, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, Kementerian Perpaduan Negara terus memperkukuh usaha menjadikan Rukun Negara bukan sekadar dihafal dan dilafaz tetapi diamalkan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Menurut Aaron, penghayatan terhadap Rukun Negara perlu menjadi langkah asas sebelum ia benar-benar dapat dihayati dan diterapkan dalam amalan masyarakat.

Aaron menegaskan Kempen Taat Setia Rukun Negara bertujuan untuk menghidupkan kembali rasa bangga dan cinta kepada negara, terutama dalam kalangan generasi muda. 

Hal ini merangkumi kedua-dua bahagian utama Rukun Negara, iaitu bahagian Cita-Cita serta lima Prinsip yang menjadi panduan hidup rakyat.

Beliau turut berkongsi bahawa perkara pertama yang diangkat sejurus beliau memegang jawatan Menteri adalah mewajibkan lafaz ikrar Rukun Negara secara penuh bermula daripada mukadimah dalam semua majlis rasmi kerajaan dan perhimpunan sekolah.

Seterusnya, kementerian di bawah kepimpinannya telah melancarkan inisiatif baharu iaitu Eksplorasi Rukun Negara, sebuah program berteraskan pendidikan dan pengalaman langsung bagi memupuk pemahaman serta penghayatan mendalam terhadap setiap prinsip Rukun Negara.

Lebih membanggakan, cadangan beliau agar lafaz Rukun Negara diamalkan di peringkat tertinggi negara turut mendapat sokongan padu apabila Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersetuju melaksanakannya.

Buat julung kalinya, ahli-ahli Parlimen Malaysia telah melafazkan Rukun Negara di dalam Parlimen pada tahun lalu, menjadikan ia satu detik bersejarah yang memperlihatkan komitmen kepimpinan negara terhadap penghayatan falsafah kebangsaan ini.

Sidang Dewan Rakyat di Parlimen turut dimulakan dengan ikrar Rukun Negara bermula tahun 2024.

Kini, kementerian bergerak ke fasa seterusnya dengan memberi penekanan kepada usaha pembudayaan Rukun Negara secara lebih meluas dan sistematik, termasuk melalui sistem pendidikan, program komuniti, aktiviti belia dan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.

Pendekatan ini diyakini mampu memastikan Rukun Negara terus menjadi nadi perpaduan, teras identiti nasional dan panduan bersama rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Rukun Negara bukan sekadar masih relevan, malah ia wajib terus dijadikan pegangan utama rakyat Malaysia. Inilah asas negara bangsa kita, panduan memperkukuh perpaduan serta benteng menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

“Tanpa penghayatan kepada Rukun Negara, sukar untuk kita mengekalkan keharmonian dan kestabilan yang telah kita bina bersama selama ini,” tegas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button