BERITA SEMASA

Taanusiya ulangi pencapaian Malaysia di Miss World selepas 28 tahun

KUALA LUMPUR – Wakil Malaysia, Taanusiya Chetty, mengharumkan nama negara apabila meraih tempat ketiga pada pertandingan Miss World 2026 yang berlangsung di Nha Trang, Vietnam, sekali gus mengulangi pencapaian terbaik Malaysia selepas 28 tahun.

Taanusiya berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketiga selepas mempamerkan persembahan cemerlang dan konsisten sepanjang hampir sebulan pertandingan yang disertai lebih 110 peserta dari seluruh dunia.

Kejayaan itu menyamai rekod yang dicatatkan oleh Lina Teoh pada Miss World 1998, menjadikan kedua-duanya antara wakil Malaysia paling berjaya dalam sejarah pertandingan berprestij tersebut.

Pencapaian Taanusiya turut meneruskan legasi cemerlang Malaysia di pentas Miss World selepas Rahimah Orchient Yayah mara ke kelompok 10 terbaik pada 1994 dan Deborah Henry yang berada dalam kelompok 16 terbaik pada 2007.

Taanusiya melangkah ke kelompok enam terbaik selepas menjuarai segmen Beauty With A Purpose (BWAP) menerusi projek kemasyarakatan yang memberi impak kepada komuniti, sekali gus mengatasi wakil Zimbabwe, Brunette Makanyiso.

Dalam segmen gaun malam, beliau tampil memukau dengan persalinan merah jambu rekaan pereka fesyen Vietnam, Minh Tuan Couture, yang menyerlahkan keanggunan dan keyakinannya di pentas akhir.

Sepanjang pertandingan, Taanusiya mencuri perhatian juri dan penonton menerusi personaliti, keyakinan serta kebolehannya berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Beliau sebelum ini tular apabila menyampaikan ucapan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil ketika cabaran Head-to-Head Challenge pada 23 Ogos lalu.

Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan negara, malah meletakkan Taanusiya sebagai antara wajah baharu Malaysia yang berjaya mencipta impak di pentas ratu cantik antarabangsa.

Gelaran Miss World 2026 dimenangi wakil Republik Dominika, Joheirry Mola Dominguez, manakala tempat kedua menjadi milik wakil Sepanyol, Elisabeth Reynes Alabern.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button