Mahkamah arah gali semula kubur pelatih PALAPES UTM
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, digali semula bagi tujuan bedah siasat kali kedua.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon.
Mahkamah sebelum ini menangguhkan keputusan bagi meneliti afidavit yang baru dikemukakan pemohon, lapor BH Online hari ini.
Pada prosiding semalam, Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd. Salehuddin mewakili Ketua Polis Negara; Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kalmizah Salleh mewakili Peguam Negara; manakala peguam Datuk Naran Singh bertindak bagi pihak Ummu Haiman.
Ummu Haiman memohon penggalian semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian.
Permohonan itu difailkan pada 19 Ogos lalu bersama cadangan agar prosiding inkues dimulakan.
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram sebelum dikebumikan sehari kemudian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Selangor.
Melalui dokumen mahkamah yang difailkan Tetuan Naran Singh & Co, pemohon turut menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Beliau juga meminta proses bedah siasat kedua dijalankan dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh serta peguamnya, selain menggesa Bukit Aman menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat semula kematian Syamsul Haris.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








