Gagal patuhi syarat lesen JAS, kilang sawit didenda RM90,000
MELAKA – Sebuah kilang minyak kelapa sawit mentah didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tiga pertuduhan gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) hingga menyebabkan pencemaran.
Pengarah JAS Melaka, Rosli Mustafa berkata, hukuman tersebut dijatuhkan selepas mahkamah mendengar rayuan daripada pihak syarikat yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS).
Katanya, mahkamah mengenakan denda RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan wakil syarikat telah menjelaskan kesemua bayaran denda berkenaan.
“Pertuduhan melibatkan kegagalan mematuhi syarat Lesen Bernombor 006087 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) iaitu syarat No. 9, 10 dan 11,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati berlaku kebocoran daripada saluran keluar efluen premis berkenaan yang mengalir ke alur air daratan sehingga mencetuskan aduan pencemaran air.
“Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(1) AKAS 1974 dan dihukum di bawah Seksyen 16(2) akta sama,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak pendakwaan dalam hujahan pemberatan menekankan keperluan hukuman berat memandangkan OKS merupakan pesalah berulang.
“Pendekatan ini diambil sebagai amaran keras kepada pemain industri dan pengusaha kilang agar tidak mengulangi kesalahan yang boleh menjejaskan alam sekitar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








