Keselamatan negara tiada kompromi – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan aspek keselamatan negara tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan, khususnya selepas Malaysia menyatakan pendirian lantang membela Palestin.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melakukan pemantauan rapi terhadap sebarang aktiviti mencurigakan termasuk melibatkan elemen asing dan tindakan tegas akan diambil sekiranya perlu.

“Tiada kompromi dalam soal keselamatan. Pihak polis sentiasa membuat pemantauan dan jika ada apa-apa tindakan perlu diambil, ia akan dilaksanakan segera.
“Keadaan terkawal tetapi tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran virtual Gaza Time Tunnel yang dihasilkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dataran Merdeka, hari ini.
Program itu diadakan sempena Karnival Sumud Nusantara anjuran MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).
Fahmi menjelaskan, kerajaan menerima taklimat berkala termasuk dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, selain merujuk laporan Ketua Polis Negara berhubung peningkatan aktiviti elemen asing yang kini dalam pemantauan pihak berkuasa.
Katanya, pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Gaza juga menjadikan Malaysia antara negara yang diperhatikan rapat oleh pihak luar.
Namun tegasnya, sokongan berprinsip terhadap Palestin tetap diteruskan sebagai dasar berterusan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













