BERITA SEMASA

JAS Labuan siasat tumpahan minyak di kawasan perindustrian Patau-Patau

LABUAN – Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan (JASWPL) mengesahkan berlakunya pencemaran tanah akibat tumpahan minyak enjin terpakai di kawasan perindustrian Jalan Patau-Patau hasil siasatan susulan satu aduan awam yang diterima.

“Pemeriksaan yang dilaksanakan kelmarin mendapati terdapat beberapa tompokan hitam dipercayai minyak enjin terpakai yang berpunca daripada kerja-kerja meleraikan jentera lama untuk dilupuskan.

“Sampel rasmi tumpahan turut diambil bagi tujuan analisis lanjut,” kata JASWPL menerusi hantaran di Facebook.

Beberapa pekerja membersihkan tanah yang tercemar akibat tumpahan minyak.

Sehubungan itu, pihak terbabit telah dikenakan Notis Arahan serta Arahan Lapangan untuk membersihkan segera kawasan tercemar selain diminta mengemukakan laporan lengkap mengenai kerja-kerja pembersihan yang dijalankan.

Menurut agensi itu lagi, kesalahan mencemarkan tanah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda antara RM50,000 hingga RM500,000, atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, denda tambahan sehingga RM1,000 sehari boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas notis diserahkan.

“Pelaku juga boleh dikompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum,” kata kenyataan itu lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berhubung pencemaran alam sekitar boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727, menghantar e-mel ke aduan_k@doe.gov.my atau membuat laporan melalui portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button