BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Petronas kekal milik penuh Kerajaan Persekutuan – Azalina

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menegaskan Petronas kekal sebagai milik penuh negara di bawah pentadbirannya, dengan pemilikan berpusat ini diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama negeri-negeri pengeluar minyak dan gas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, walaupun pemilikan tidak dikongsi secara langsung, mekanisme sedia ada membolehkan negeri-negeri menerima manfaat terus daripada industri petroleum melalui bayaran tunai, projek bersama dan pelbagai bentuk kerjasama komersial.

“Kerajaan Persekutuan pada masa ini merupakan pemilik tunggal Petronas, yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat minyak dan gas negara.

“Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] mengamanahkan Petronas dengan hak eksklusif untuk meneroka, mengurus dan membangunkan sumber petroleum negara, sama ada di darat, pesisir atau luar pesisir Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azalina menjelaskan, hasil keseluruhan sektor itu diagihkan secara saksama ke seluruh negara selaras dengan keperluan pembangunan nasional, manakala keuntungan Petronas turut disalurkan kembali kepada negara bagi menyokong agenda pembangunan menyeluruh.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan.

Jeffrey bertanya sama ada kerajaan mempertimbangkan pemberian 50 peratus saham pemilikan Petronas kepada negeri-negeri pengeluar seperti Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan sebagai langkah memperkukuh Persekutuan Malaysia.

Azalina turut mendedahkan, sejak penubuhannya, Petronas telah menyumbang lebih RM1.5 trilion kepada negara setakat 2024, meliputi dividen, bayaran tunai, cukai petroleum dan cukai korporat.

“Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan amanah di bawah Akta 144, pulangan ini telah menyumbang secara signifikan kepada agenda pembangunan negara,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button