BERITA SEMASA

Pegawai imigresen diserang di KLIA: Kesatuan tuntut siasatan dicepatkan, dakwa tanpa kompromi

PUTRAJAYA – Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan fizikal dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai wanita imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Menurut Presidennya, Ajeet Singh Gurbax, dalam insiden tersebut, seorang penumpang warganegara asing telah bertindak memaki hamun, menarik tudung serta menolak kepala pegawai hingga menyebabkan kecederaan ringan.

“Tindakan pantas pasukan keselamatan lapangan terbang telah mengawal keadaan dan kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta tindakan undang-undang.

“KPISM ingin menegaskan bahawa tindakan provokasi atau mencederakan penjawat awam boleh dikenakan tindakan undang- undang, tanpa mengira sama ada pelaku warganegara Malaysia atau warganegara asing.

“Tindakan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia boleh disifatkan sebagai mencabar kedaulatan undang-undang negara dan setiap pelancong wajib menghormati undang-undang negara yang mereka lawati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, KPISM memandang serius kejadian yang berlaku ke atas pegawai imigresen yang juga merupakan ahli kesatuan dan menyeru pihak pengurusan AKPS mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pegawai bertugas serta pelancong lain.

Katanya, KPISM berharap pihak kementerian dapat meneliti semula cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kaunter bagi memastikan pemantauan perjalanan pemeriksaan imigresen lebih komprehensif dan efisien.

Sehubungan itu, KPISM menuntut agar siasatan dipercepatkan dan pendakwaan dilakukan tanpa kompromi terhadap pelaku.

“KPISM akan terus memberikan sokongan penuh kepada pegawai terlibat termasuk bantuan kebajikan dan guaman sehingga proses keadilan selesai.

“Pegawai imigresen adalah benteng hadapan kedaulatan negara. Mengasari mereka ketika bertugas bukan sahaja perbuatan biadab, malah mencemarkan imej negara dan mengancam keselamatan di pintu masuk antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button