POLITIK

MCA timbang semula kedudukan dalam BN

KUALA LUMPUR – MCA kini berdepan dilema besar apabila suara akar umbi mendesak parti itu menilai semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN), susulan hubungan rapat UMNO dengan DAP yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, walaupun parti itu tidak terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar kerajaan perpaduan, ia tetap berperanan sebagai suara rakyat dengan memastikan dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat.

“Apabila ada kelemahan dasar, menjadi tanggungjawab kami membawanya kepada perhatian kerajaan supaya tidak menjejaskan kehidupan rakyat.

“MCA telah lantang bersuara dalam isu seperti kemasukan matrikulasi dan subsidi gas memasak LPG,” katanya memetik laporan NST Online.

Beliau berkata, MCA antara pihak yang membantah keputusan Kementerian Pendidikan yang mengehadkan kemasukan matrikulasi hanya kepada pelajar mendapat gred A+ dan A, sehingga kerajaan menarik balik keputusan itu.

Begitu juga dengan isu LPG bersubsidi untuk pengusaha makanan yang pada awalnya memerlukan permit barang kawalan berjadual, tetapi akhirnya dibenarkan digunakan sehingga Oktober ini selepas dibangkitkan oleh MCA.

Mengulas desakan supaya MCA memperjelas pendirian dalam BN, Mah menegaskan parti itu sudah lama menjadi rakan setia gabungan tersebut. Namun, katanya, perkembangan politik mutakhir menimbulkan kebimbangan di peringkat akar umbi.

“Di Perak, majoriti bahagian MCA menyatakan rasa tidak selesa bekerjasama dengan DAP. Lawatan 30 Ahli Parlimen DAP ke Menara Dato’ Onn baru-baru ini walaupun dalam hak mereka, tetap menerima reaksi bercampur, kebanyakannya tidak puas hati,” katanya lagi.

Jelas beliau, seperti UMNO yang boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak, MCA juga mempunyai hak sama untuk mempertimbangkan kemungkinan kerjasama baharu.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, Mah berkata pembahagian kerusi turut menjadi isu besar kerana MCA bimbang akan kekal dengan hanya dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri seperti sekarang.

“Dalam enam pilihan raya negeri lalu, MCA tidak menerima tambahan kerusi walaupun persiapan rapi dibuat. Keadaan ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan ahli yang bertanya berapa kerusi akan ditandingi pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Menurut Mah, sebarang keputusan berkaitan kedudukan MCA dalam BN akan dibuat dengan penuh pertimbangan demi masa depan parti dan rakyat yang diwakilinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button