Format baharu pengisytiharan harta ditambah baik – PMO
CYBERJAYA – Semua anggota pentadbiran persekutuan termasuk menteri akan mengisytiharkan harta mereka sebaik sahaja format baharu pengisytiharan ditambah baik.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, format baharu untuk proses pengisytiharan harta itu akan lebih komprehensif dan ditambah baik daripada mekanisme sedia ada.
Katanya, ia dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Sementara itu, PMO juga berkata, kerajaan akan mengeluarkan garis panduan berhubung ‘surat sokongan’ oleh anggota pentadbiran untuk ‘urusan kerajaan’.
“Kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran kerajaan.
“Satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi,” kata kenyataan itu.
Kata PMO lagi, jawatankuasa juga bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri, bermula dengan laporan tahun 2022.
Langkah ini supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan dengan lebih berkesan, katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








