Caj air domestik di Selangor kekal RM6.50 sen – MB
SHAH ALAM – Caj air bagi pengguna domestik di Selangor yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan akan dikekalkan pada kadar sedia ada, iaitu 65 sen setiap meter padu, tanpa sebarang kenaikan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat memandangkan kadar berkenaan telah diselaraskan pada Februari tahun lalu dan caj minimum RM6.50 turut dikekalkan untuk kumpulan pengguna tersebut.
“Kerajaan negeri berpendirian bahawa pelarasan tarif ini perlu supaya langkah-langkah meningkatkan rizab air kepada 20 peratus menjelang tahun 2030 amat diperlukan.
“Pelarasan ini akan membolehkan pihak Air Selangor mengukuhkan usaha penukaran paip asbestos yang berusia lebih 40 tahun sepanjang 1,600 kilometer (km) di seluruh Selangor pada kadar 300 km setahun, bermula tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelas Amirudin, pelarasan tarif air dibuat berpandukan kadar yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas kelulusan Jemaah Menteri terhadap cadangan negeri-negeri yang mahu memperkukuh perkhidmatan bekalan air terawat.
Menurut beliau, kadar baharu bagi rumah dengan penggunaan air antara 20 hingga 35 meter padu akan meningkat sebanyak RM0.30 setiap meter padu kepada RM1.62, manakala penggunaan melebihi 35 meter padu akan dikenakan caj RM3.51 untuk setiap meter padu tambahan.
“Perubahan itu bertujuan menggalakkan penggunaan air yang lebih optimum dan berhemah,” jelasnya.
Bagi kategori kondominium, kuarters estet dan kuarters kerajaan, kadar baharu akan meningkat sebanyak RM0.41/meter padu kepada RM2.09, namun kadar minimum pukal bagi kondominium kekal RM173 sebulan, manakala caj minimum bagi kuarters estet dan kerajaan pula meningkat kepada RM20.90 sebulan.
Amirudin berkata, pengguna rumah kos rendah akan menikmati kadar pelarasan terendah, dengan hanya RM0.10/meter padu kepada RM1.18/meter padu.
Beliau turut menjelaskan pendekatan kerajaan negeri dalam memastikan caj air yang dikenakan terhadap sektor komersial tidak membebankan, supaya kos operasi syarikat tidak melonjak mendadak.
“Untuk itu, ruang komersial serta bangunan bukan domestik akan menyaksikan peralihan kadar caj pada kadar yang sama dengan pengguna domestik melebihi 35 meter padu, iaitu RM3.51/meter padu, peningkatan sebanyak RM0.57 bagi setiap meter padu.
“Penggunaan melebihi 35 meter padu pula akan dikenakan caj sebanyak RM3.83 bagi setiap meter padu melebihi 35 meter padu,” katanya.
Bagi rumah ibadat serta institusi kebajikan yang berdaftar, kerajaan negeri mengekalkan kadar caj paling rendah dengan kenaikan hanya RM0.10/meter padu kepada RM0.76.
Sementara itu, industri perkapalan akan dikenakan kadar baharu RM8.01/meter padu, meningkat sebanyak RM0.93, manakala kadar untuk pusat data ditetapkan pada RM5.31/meter padu.
“Meskipun pelaburan pusat-pusat data memainkan peranan penting dalam ekosistem penyimpanan, pemprosesan dan pengurusan data bagi menyokong bidang teknologi maklumat, kerajaan juga menyedari bahawa pusat-pusat data menggunakan kadar air yang mampu mencecah berjuta liter sehari untuk tujuan penyejukan sistem operasi,” katanya.
Amirudin memaklumkan kadar baharu ini akan mula berkuat kuasa pada 1 September ini bagi memberi masa persediaan kepada pengguna.
Tambah beliau, sejak pelarasan tarif terdahulu, prestasi Air Selangor menunjukkan peningkatan termasuk margin rizab air yang naik daripada 13.86 peratus pada Februari kepada 16.74 peratus pada Jun lalu.
Air Selangor kini membekalkan air kepada lebih 2.77 juta akaun di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, menjadikannya penyedia perkhidmatan air terbesar negara.
Dalam pada itu, beberapa projek pembinaan Loji Rawatan Air baharu sedang dilaksanakan di Rasau dan Labohan Dagang 2, masing-masing membabitkan kos RM7.671 bilion dan RM479.52 juta bagi menambah kapasiti air terawat sebanyak 2,730 juta liter sehari.
Kerajaan negeri turut komited meneruskan pemberian air percuma kepada lebih 1.3 juta rakyat Selangor melalui 337,851 akaun penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE), dengan manfaat bernilai RM13 sebulan.
Selain itu, had pendapatan isi rumah bagi penerima SADE akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan, bagi memastikan bantuan disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menampung peningkatan caj bekalan air bagi rumah-rumah ibadat dan institusi kebajikan dengan anggaran kos sebanyak RM100,000 setahun.
“Usaha untuk mengukuhkan perkhidmatan air tanpa meningkatkan kos sara hidup rakyat yang memerlukan ini menyaksikan kerajaan negeri menanggung kos sehingga RM52.7 juta,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








