BERITA SEMASA

RMK13: Kerajaan akan wujudkan Suruhanjaya Data

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan Suruhanjaya Data bagi mengawal selia data negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif seperti mewujudkan bank data negara sebagai pangkalan data nasional bersepadu akan dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus berasaskan data digital.

“Ekosistem kecerdasan buatan (AI) akan dimantapkan melalui pengukuhan kepercayaan digital.

“Strategi kepercayaan digital dan keselamatan data nasional akan dilancarkan untuk melindungi data peribadi, menangani ancaman siber serta memastikan keselamatan ekosistem dan kedaulatan digital negara,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan kemudiannya berkata, pelaksanaan dasar dan strategi utama seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia akan turut diberi keutamaan.

“Ia akan memberi fokus kepada pelaksanaan yang berkesan dan memberi manfaat terus kepada rakyat serta industri.

“Inisiatif Pengenalan Identiti Digital Perniagaan dan penggunaan digital twin akan turut menjadi ikhtiar penting dalam meningkatkan daya saing dan inovasi pemain industri,” katanya.

Menurutnya, program akan dilaksanakan bagi memupuk literasi AI seawal peringkat rendah, memperluas harta intelek tempatan, meningkatkan suntikan dana strategik dan menggalakkan kolaborasi rentas sektor.

“Pendekatan ini akan memastikan ekosistem inovasi negara dapat berkembang secara menyeluruh dan memberi pulangan jangka panjang kepada ekonomi dan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button