Onn Hafiz catat sejarah sebagai pemimpin Johor pertama terima anugerah LKYEF
JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mencatat sejarah apabila menjadi pemimpin pertama dari negeri itu menerima Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF), anugerah antarabangsa berprestij yang kini memasuki edisi ke-82.
Beliau turut menjadi rakyat Malaysia kesembilan menerima penghormatan tersebut yang mengiktiraf tokoh berkebolehan dalam bidang dasar awam dan kepimpinan di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pencapaian itu bukan sahaja merupakan kejayaan peribadi Onn Hafiz, malah satu kebanggaan buat seluruh rakyat Johor.
“Pengiktirafan ini membuktikan kewibawaan, visi dan kepimpinan luar biasa Datuk Onn Hafiz dalam menerajui Johor ke arah masa depan lebih gemilang.
“Ia turut mencerminkan keyakinan serantau terhadap dasar, pendekatan serta keupayaan Johor sebagai sebuah negeri progresif, stabil dan disegani,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Beliau turut mendoakan agar Onn Hafiz terus diberi kekuatan, kesihatan dan kebijaksanaan dalam memacu kemajuan negeri itu.
Lee Kuan Yew Exchange Fellowship yang ditubuhkan pada 1991 merupakan inisiatif kerajaan Singapura bagi menjemput pemimpin dan tokoh terkemuka dunia melawat republik itu.
Pemilihan penerima dibuat berdasarkan rekod pencapaian serta potensi sumbangan terhadap pembangunan negara selain memperkukuh hubungan dua hala bersama Singapura.
Onn Hafiz dijadual memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura bermula semalam atas jemputan Menteri Luar negara itu, Dr Vivian Balakrishnan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








