BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

BFF 2025 perkukuh kerjasama serantau, pacu pembangunan pelancongan Labuan

LABUAN – Penganjuran sulung Borneo Flora Festival (BFF) 2025 bukan sekadar meraikan keindahan flora Borneo malah menjadi platform penting yang mengukuhkan kerjasama serantau merentasi sempadan ekonomi, budaya dan komuniti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, festival berkenaan membawa mesej perpaduan dan keterangkuman dalam membentuk ekosistem serantau yang saling melengkapi.

“Perpaduan dalam kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan sebenar rantau Borneo ini.

“Saya percaya BFF 2025 ini akan membuka ruang baharu kepada pertukaran ilmu, promosi pelaburan dan integrasi jaringan dagangan serantau dalam sektor pelancongan, landskap dan hortikultur.

Raja Zarith Sofiah diberi penerangan oleh peserta yang mengambil bahagian mengenai flora yang dipamerkan pada festival tersebut.

“Selain itu, program ini juga akan terus memperkukuh komitmen Malaysia dalam menjayakan agenda ASEAN serta kerjasama BIMP-EAGA,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian festival tersebut, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang berkenan merasmikan festival bunga terbesar di Kepulauan Borneo itu.

Diterajui oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama tiga agensi di bawahnya iaitu Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), BFF 2025 menjadi simbol sinergi persekutuan dalam memacu sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Dr. Zaliha berkata, festival itu merupakan antara pemacu strategik kerajaan dalam memperkenalkan sektor pelancongan sebagai teras pembangunan alternatif bagi Labuan.

Kehadiran pengunjung bersama keluarga memeriahkan festival ini.

“Sejak setahun lalu, kita merancang untuk memberi penekanan kepada sektor alternatif yang lebih mampan dan dekat dengan rakyat iaitu pelancongan.

“BFF ini dijangka menyumbang secara langsung kepada sosioekonomi tempatan khususnya dalam sektor perhotelan, makanan dan perusahaan kecil.

“Kita menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pelawat dengan unjuran kesan ekonomi berjumlah RM20 juta daripada perbelanjaan langsung. Lebih penting, pelawat yang hadir diharap akan menjadi pelancong berulang ke Labuan,” ujarnya.

BFF 2025 disertai oleh 31 agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, komuniti tempatan serta penyertaan antarabangsa dari Brunei dan Indonesia.

Sebanyak 250,000 pokok bunga semusim telah disemai, ditanam dan dihias di sekitar lokasi festival sejak awal Mei lalu hasil usaha sukarelawan tempatan.

Festival ini akan berlangsung selama tujuh hari sehingga 30 Julai bertempat di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button