BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

RM178,200 lesap, jurutera jadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian

PASIR GUDANG – Seorang jurutera wanita kerugian RM178,200 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian yang dijalankan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 33 tahun itu tampil membuat laporan semalam selepas menyedari telah ditipu sejak terlibat dengan pelaburan berkenaan bermula Mac lalu.

“Mangsa tertarik selepas melihat iklan pelaburan saham dalam aplikasi Telegram dan kemudian mengikut pautan yang diberikan sebelum dijanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Berdasarkan keterangan, mangsa telah membuat 19 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza antara Mac hingga Julai 2025, melibatkan jumlah keseluruhan RM178,200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa hanya menyedari telah diperdaya apabila diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran semula modal dan keuntungan.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua akaun yang digunakan dalam kes ini mempunyai 21 rekod laporan polis membabitkan kes penipuan pelaburan,” katanya.

Jelas beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan turut menjurus kepada pembabitan ‘keldai akaun’.

Dalam pada itu, Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan janji pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa dalam masa singkat.

“Lakukan semakan terhadap individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan gunakan portal Semak Mule bagi menyemak akaun mencurigakan sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Jika menerima tawaran pelaburan yang meragukan, laporkan segera kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button