BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Peniaga rugi RM2.27 juta terperdaya skim penipuan pelaburan dalam talian

MARAN – Seorang peniaga kerugian sebanyak RM2.27 juta selepas terperdaya dengan dua skim pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan palsu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian pertama bermula pada 23 Februari lalu apabila mangsa seorang lelaki berusia 45 tahun tertarik dengan iklan pelaburan yang dilihat di internet.

“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu dikenali sebagai Helen melalui aplikasi WhatsApp dan diminta memuat turun aplikasi untuk menyertai kelas pelaburan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa kemudiannya membuat 18 transaksi berjumlah RM1.8 juta ke enam akaun bank antara 14 Mei hingga 15 Julai 2025.

Pada 16 Mei 2025, mangsa menerima pulangan sebanyak RM20,669 yang membuatkan beliau yakin dan terus melabur.

Namun, pada 22 Julai lalu, mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM88,000 untuk proses pengeluaran cepat.

“Ini menimbulkan keraguan kepada mangsa dan beliau enggan membuat bayaran tersebut.

“Semakan di portal Semak Mule menunjukkan akaun bank terlibat mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Dalam kes kedua, yang juga melibatkan mangsa yang sama, ia bermula pada Februari lalu apabila mangsa melihat satu lagi skim pelaburan dalam aplikasi dan berhubung dengan individu yang sama melalui WhatsApp.

“Mangsa diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi untuk mengikuti kelas pelaburan dan telah melakukan sebanyak 13 transaksi berjumlah RM440,000 antara 23 Februari hingga 21 Mei 2025,” tambah Yahaya.

Namun, dalam kes itu, mangsa tidak menerima sebarang pulangan dan diminta membayar “cukai” sebanyak 20 peratus untuk pengeluaran.

Mangsa akhirnya mengesyaki dirinya telah ditipu dan siasatan mendapati wang pelaburan diperoleh daripada simpanan sendiri serta pinjaman daripada rakan-rakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button