BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Keputusan tangguh kenaikkan tol bukan mudah, kerajaan tanggung pampasan RM500 juta – Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyifatkan keputusan Kerajaan MADANI untuk menangguhkan kenaikan kadar tol bagi tahun ini sebagai satu langkah yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya utama bukan satu perkara mudah, namun ia dilakukan dengan penuh teliti dan tanggungjawab demi kebajikan rakyat yang ketika ini berdepan tekanan kos sara hidup.

Katanya, KKR menyambut baik pengumuman kerajaan yang tidak membenarkan sebarang kenaikan kadar tol di lebuh raya terlibat sepanjang tahun ini, walaupun perjanjian sedia ada bersama syarikat konsesi menetapkan sebaliknya.

“Keputusan ini membuktikan suara rakyat sentiasa didengar dan menjadi keutamaan dalam setiap dasar yang digubal serta dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI. Ini bukan keputusan mudah, tetapi ia dibuat demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, langkah penangguhan ini dijangka memberi manfaat langsung kepada kira-kira 941,000 pengguna lebuh raya setiap hari, terutamanya mereka yang berulang-alik ke tempat kerja.

Sebagai balasan terhadap penangguhan itu, Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) akan menyalurkan pampasan melebihi RM500 juta kepada syarikat konsesi bagi memastikan operasi serta penyelenggaraan lebuh raya kekal cekap, selamat dan tidak terganggu.

Dalam pada itu, Alexander turut memberi jaminan KKR akan terus komited memastikan semua jalan raya dan lebuh raya negara berada dalam keadaan selamat dan terbaik.

“Komitmen ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan infrastruktur negara kekal mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button