BERITA SEMASAPOLITIK

Desakan RCI : Tiada Ahli Parlimen PKR akan digantung – Fuziah Salleh

SEREMBAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan tiada sebarang tindakan penggantungan akan dikenakan terhadap sembilan Ahli Parlimennya yang lantang menyuarakan desakan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan badan kehakiman.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menjelaskan bahawa perkara itu bukanlah satu isu besar, malah ia hanya merupakan luahan rasa dalam kalangan ahli peringkat cabang yang tidak boleh diketepikan.

Menurut Fuziah, kesemua Ahli Parlimen terbabit sebenarnya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan tindakan mereka dianggap wajar selagi mewakili suara rakyat.

“Saya kira apa yang mereka lakukan adalah sebahagian daripada tugas mereka selaku Ahli Parlimen. Cuma, teguran diberikan agar sebarang kenyataan penting seperti ini perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam parti,” katanya.

Tambahnya, tiada isu mengenai penggantungan keahlian kerana pandangan yang dibawa mereka tidak bertentangan dengan prinsip parti, sebaliknya memerlukan penyelarasan komunikasi dalaman yang lebih baik.

Fuziah berkata demikian selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi Parti dan Jelajah Presiden yang berlangsung pada Ahad.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluangkan masa kira-kira satu jam bersama barisan Pimpinan Cabang, Angkatan Muda Cabang, Wanita Cabang serta calon-calon Pemilihan Parti 2025 di Negeri Sembilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button