BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

AI pemacu utama tangani krisis data alamat negara

KUALA LUMPUR – Teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat sebagai kunci utama dalam mempercepat kejayaan pelaksanaan Sistem Alamat Kebangsaan (NAS) bagi bertujuan merapatkan jurang data alamat di seluruh negara.

Ketua Al Center of Excellence PETRONAS, Habsah Nordin berkata, pendekatan berasaskan AI berupaya menyelaraskan pelbagai pangkalan data sedia ada dengan lebih efisien, seterusnya meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan awam dan sektor e-dagang negara.

“Antara matlamat penting NAS ialah memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh ekosistem termasuk sektor awam, individu dan organisasi.

“Ketika e-dagang berkembang semasa COVID-19, kita lihat banyak isu timbul kerana alamat tidak lengkap. NAS perlu dimiliki bersama bukan hanya oleh MCMC tetapi juga pihak kurier, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan supaya ia menjadi inisiatif yang dikongsi bersama,” katanya ketika berucap dalam sesi Implementing NAS in Malaysia: Bridging Address Data Gaps with AI, di sini, hari ini.

Persidangan Alamat Nasional 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merupakan platform penting untuk memperkasa pembangunan dan standardisasi Sistem Alamat Kebangsaan melalui agenda strategik, teknikal dan kerjasama antara agensi.

Objektif persidangan dua hari itu adalah untuk mewujudkan pangkalan data alamat yang tunggal, tepat dan diiktiraf sebagai sumber rujukan rasmi negara untuk manfaat sektor awam, swasta, dan rakyat ramai.

Mengulas lanjut, Habsah berkata, AI menawarkan pendekatan yang lebih pantas dan intuitif dalam menyelaras data antara pelbagai agensi, termasuk menerusi penggunaan geocoder dan peta geospatial bagi memvisualkan alamat secara tepat dan masa nyata.

“Setiap alamat memerlukan pengecam unik. Namun kita masih belum mempunyai satu sistem tunggal untuk dijadikan rujukan utama.

“Di sinilah AI boleh mempercepatkan proses penyelarasan dan penciptaan ‘rekod tunggal’ atau golden record,” jelasnya.

Tambahnya, antara aplikasi AI termasuklah natural language processing (NLP) bagi membersih dan menyeragamkan alamat seperti ‘rumah atap kuning belakang tiang elektrik’ yang sering berulang dan tidak tepat.

Menurut beliau lagi, penggunaan pencitraan satelit seperti yang dilaksanakan di Amerika Syarikat pada 2020 boleh dicontohi kerana berjaya meliputi 65 peratus alamat tanpa keperluan ke lokasi lapangan.

“Imbasan satelit boleh digunakan untuk mengenal pasti bangunan baharu, mengesahkan kewujudan bangunan dan mengemas kini alamat secara berterusan.

“Data yang tepat bukan hanya penting untuk perniagaan tetapi juga untuk menyelamatkan nyawa semasa bencana atau kecemasan,” katanya.

Habsah turut berkongsi contoh kejayaan luar negara seperti United Kingdom yang memiliki pangkalan data alamat berpusat sejak 27 tahun lalu, manakala China pula mengoptimumkan data daripada platform e-dagang seperti Baidu dan Alibaba menerusi kaedah crowdsourcing.

“Malaysia perlu memodenkan infrastruktur bagi menangani ledakan data besar, kerana maklumat alamat adalah entiti dinamik yang sentiasa berubah mengikut perkembangan pembangunan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pelaksanaan NAS menggunakan strategi hibrid iaitu gabungan kepakaran manusia dan AI, termasuk pemanfaatan AI agent dalam sistem kerja sedia ada, bagi memastikan pelan pelaksanaan tiga tahun dapat direalisasikan dengan lebih efisien dan mampan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button