BERITA SEMASADALAM NEGERI

Remaja Britain hilang disyaki masih berada di Malaysia – Polis

KUALA LUMPUR – Polis percaya remaja lelaki warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sejak awal bulan lalu, masih berada di Malaysia.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan lokasi remaja terbabit yang dilaporkan memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jun lalu.

“Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan awal mengesahkan Balisong masuk ke Malaysia melalui KLIA.

“Kita percaya dia masih berada dalam negara ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Fadil turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu siasatan.

Beliau juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan remaja berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid di talian 017-7369187.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, turut mengesahkan remaja dari Cheadle, Greater Manchester itu memasuki negara ini selepas menaiki penerbangan dari Britain pada awal Jun.

Difahamkan, Balisong dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dipercayai terbang ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan mereka.

Pada 6 Jun lalu, beliau dikatakan memberitahu adiknya dia akan keluar lebih awal dari rumah untuk menduduki peperiksaan GCE Peringkat A di sekolahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button