
JDT, Selangor buka tirai Liga M 8 Ogos ini
KUALA LUMPUR – Saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026 bakal membuka tirainya pada 8 Ogos ini dengan aksi Piala Sumbangsih yang menemukan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang pencabar utama, Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL), perlawanan berprestij itu turut dikira sebagai aksi pertama saingan Liga Super musim baharu.
Jelas MFL, saingan Liga Super 2025-2026 dijadual berlangsung selama kira-kira 10 bulan dan bakal melabuhkan tirainya pada 16 Mei 2026, lebih singkat berbanding musim lalu yang melalui tempoh transisi selama 14 bulan.
Dalam pada itu, Piala FA akan bermula pada 15 Ogos ini manakala pentas final dijangka berlangsung pada 14 Disember depan.
Bagi kejohanan Piala Malaysia pula, saingan akan dimulakan pada 17 Januari 2026 dan perlawanan akhir dijadualkan pada 23 Mei 2026.
Sementara itu, satu lagi kejohanan anjuran MFL, iaitu Piala Cabaran akan membuka tirainya pada 6 Februari 2026 dengan dua aksi final bakal berlangsung pada 4 dan 18 April 2026.
Baca juga : MFL tegas tolak penstriman haram liga Malaysia
MFL turut memaklumkan bahawa buat kali ini, pihaknya mengeluarkan kalendar penuh semusim berbanding pendekatan secara berperingkat musim lalu.
“Bagaimanapun, MFL ingin menjelaskan bahawa kemungkinan akan berlaku pindaan terhadap jadual perlawanan.
“Ia berikutan sesi undian Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), termasuk Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) yang akan berlangsung pada 15 Ogos ini, membabitkan penyertaan JDT dan Selangor FC.
“Kedua-dua kelab ini turut beraksi dalam Kejuaraan Kelab ASEAN yang mana jadual penuh kejohanan tersebut baru sahaja dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
“Justeru, ia sekali gus menyukarkan MFL melengkapkan kalendar Liga M lebih awal untuk diedarkan kepada kelab serta penyokong,” kata MFL dalam satu kenyataan semalam.
Dalam masa sama, MFL turut menegaskan bahawa penyusunan jadual bagi musim 2025-2026 turut mengambil kira kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi tahun 2025 yang melibatkan komitmen skuad kebangsaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








