Operasi Guaman LHDN Kedah sasar 51 syarikat dan individu gagal patuh cukai
ALOR SETAR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan Operasi Guaman LHDN Kedah bermula hari ini hingga 10 Julai dalam usaha memperkukuh tindakan undang-undang terhadap individu dan syarikat yang gagal mematuhi kewajipan cukai.
Operasi yang dijalankan di seluruh negeri Kedah itu menyasarkan 51 syarikat dan individu yang masih ingkar menjelaskan tunggakan cukai serta kompaun, walaupun telah menerima notis peringatan daripada pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Norfaidah Daud berkata, kesemua pihak yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk guaman sivil dan pendakwaan di mahkamah.
Menurutnya, pelaksanaan operasi kali ini memberi fokus kepada kes-kes berprofil tinggi dan membuktikan kesungguhan LHDN untuk memaksimumkan pematuhan cukai melalui tindakan perundangan.

“Pelaksanaan operasi ini menunjukkan iltizam LHDN untuk memastikan keadilan dalam sistem percukaian ditegakkan serta menjadi asas kepada kestabilan ekonomi negara,” katanya ketika berucap merasmikan operasi tersebut di sini.
Hadir sama barisan pengurusan kanan LHDN yang turut memberi sokongan terhadap usaha mempertingkat pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat.
Jelas beliau, LHDN percaya bahawa pematuhan menyeluruh serta tindakan penguatkuasaan secara berterusan dapat meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem percukaian, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih stabil dan sejahtera.
Sebarang pertanyaan berkaitan operasi ini boleh dikemukakan melalui talian 03-8911 1000, perkhidmatan Live Chat atau menerusi borang maklum balas di portal rasmi LHDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







