Banjir Texas: Angka terkorban meningkat lebih 100
TEXAS – Angka kematian akibat banjir kilat yang melanda tengah Texas Jumaat lalu kini meningkat kepada lebih 100 orang dengan jumlah mangsa yang masih hilang belum dapat dipastikan.
Daripada angka itu, sekurang-kurangnya 56 dewasa dan 28 kanak-kanak maut di Kerr County, lokasi di mana Sungai Guadalupe melimpah akibat hujan lebat sebelum subuh pada hari cuti umum 4 Julai lalu, lapor BBC.
Buat masa ini, pasukan mencari dan menyelamat masih meredah tebing sungai yang dipenuhi lumpur bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Namun, harapan untuk menemui lebih ramai mangsa terselamat semakin pudar selepas empat hari bencana berlaku.
Sementara itu, Camp Mystic, sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak perempuan mengesahkan sekurang-kurangnya 27 individu terdiri daripada peserta kem dan kakitangannya merupakan antara yang terkorban.
Sepuluh peserta kem dan seorang kaunselor bagaimanapun masih belum ditemukan.
“Kami amat sedih dengan kejadian yang berlaku dan kami tidak dapat bayangkan perasaan keluarga yang sedang menanggung tragedi ini,” kata pengendali kem tersebut dalam satu kenyataan, semalam.
Kenyataan itu turut menyebut, pemilik bersama dan pengarah Camp Mystic, Richard Eastland,70, turut meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan peserta kem.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








