BERITA SEMASA

Kementerian Luar pantau kemungkinan rakyat Malaysia terlibat insiden feri karam di Bali

PUTRAJAYA – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menyiasat dakwaan seorang rakyat Malaysia turut menjadi mangsa dalam insiden feri karam di Selat Bali, baru-baru ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, usaha sedang dijalankan untuk mengesahkan identiti mangsa berkenaan sekiranya dakwaan itu benar.

“Kedutaan telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia sejak awal lagi dan pada mulanya dimaklumkan tiada warganegara Malaysia terbabit dalam insiden itu.

“Namun, berikutan laporan terbaru yang menunjukkan kemungkinan terdapat seorang rakyat Malaysia antara mangsa, pihak Kedutaan sedang giat bekerjasama dengan Jabatan Konsular Kementerian dan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan perkara ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Tambahnya, selagi operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, kedutaan akan terus menjalin hubungan rapat dan berterusan dengan semua agensi berkaitan.

Terdahulu, laporan media Indonesia menyebut seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Yatini mendakwa, suaminya seorang rakyat Malaysia masih hilang dalam insiden berkenaan.

Rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di alamat Jl. H.R. Rasuna Said Kav.X/6, No. 1–3, Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia melalui talian +6281380813036 atau emel [mwjakarta@kln.gov.my](mailto:mwjakarta@kln.gov.my).

Mereka juga boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Bali di talian +62361751953.

Laporan media sebelum ini menyebut, sebuah feri yang membawa 12 anak kapal, 53 penumpang dan 22 kenderaan karam di Selat Bali lewat malam Rabu ketika dalam perjalanan dari Jawa Timur ke Bali.

Setakat 5 Julai, sekurang-kurangnya enam maut, 29 masih hilang dan 30 yang lain berjaya diselamatkan, menurut Kementerian Pengangkutan Indonesia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button