JENAYAH & MAHKAMAH

Dua penjenayah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan Polis

JITRA – Dua lelaki dipercayai penjenayah tegar, termasuk seorang daripadanya yang memiliki lebih 40 rekod jenayah, maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di susur masuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Bandar Darul Aman, pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.05 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah bersama Bukit Aman menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pasukan polis telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan, namun suspek enggan bekerjasama dan melepaskan tembakan ke arah polis, menyebabkan berlaku insiden tembak-menembak.

“Dua suspek maut di lokasi kejadian dalam kenderaan mereka selepas polis terpaksa melepaskan tembakan balas.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan semi-auto, beberapa butir peluru hidup, sebilah parang serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Tambahnya, suspek utama yang berusia 41 tahun dikenal pasti mempunyai lebih 40 rekod jenayah lampau, manakala identiti rakannya masih belum dikenal pasti kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai anggota sebuah kumpulan penjenayah besar yang terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan di seluruh negara.

“Antara jenayah yang dikaitkan dengan kumpulan ini termasuk pengedaran dadah, gangsterisme, pecah kilang dan kes samun.

“Kita percaya kumpulan ini mula aktif sejak 2020,” katanya lagi.

Unit Forensik turut menemukan tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Mayat kedua-dua suspek telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus yang turut hadir di lokasi berkata, pihaknya menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah yang aktif di Klang, Selangor.

“Kumpulan ini dipercayai mempunyai lebih 30 ahli dan pihak polis akan mengambil tindakan lebih tegas dan agresif bagi membanteras kegiatan mereka. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya lagi.

Insiden itu juga menyebabkan laluan keluar Lebuhraya PLUS di Bandar Darul Aman ke arah selatan ditutup selama empat jam bermula 8.30 pagi bagi tujuan siasatan dan keselamatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button