BERITA SEMASA

Pertemuan Anwar-Bayrou buka lembaran baharu hubungan Malaysia, Perancis

PARIS – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuannya dengan Perdana Menteri Perancis, Francois Bayrou sebagai membuka lembaran baharu hubungan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menyentuh pelbagai bidang kerjasama strategik.

Beliau berkata, ia termasuk pelaburan bernilai tinggi seperti aeroangkasa, semikonduktor dan automotif, kerjasama tenaga bersih, pertahanan, pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Malaysia menghargai sokongan Perancis terhadap misi peralihan tenaga dan transformasi ekonomi negara menerusi penglibatan aktif syarikat seperti ENGIE, Total dan Thales.

“Saya juga menekankan kepentingan komitmen pihak Airbus terhadap penghantaran pesawat A330 Neo yang telah dipersetujui bersama Malaysia Aviation Group (MAG), bagi memastikan kelangsungan operasi dan pelaburan yang efisien,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, AirAsia turut menunjukkan keyakinan terhadap teknologi Perancis melalui komitmennya untuk memperoleh sejumlah pesawat Airbus, sekaligus memperkukuh hubungan industri penerbangan antara kedua-dua negara.

Pada masa sama katanya, sebagai rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU) , beliau yakin hubungan itu akan terus berkembang selaras dengan aspirasi bersama ke arah pertumbuhan yang mampan dan masa depan yang lebih inklusif.

Sementara itu katanya, Anwar turut mengundang Bayrou untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia sebagai langkah memperteguh hubungan erat kedua-dua negara.

Anwar berada di Paris atas jemputan Presiden Emmanuel Macron.

Beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Macron di Istana Élysée, dengan agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan krisis di Asia Barat khususnya krisis kemanusiaan di Gaza.

Perancis kekal sebagai satu daripada lima rakan perdagangan utama Malaysia dalam kalangan negara EU.

Pada 2024, perdagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) direkodkan antara Januari dan Mei tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button