Politik

Kedah ‘sweet state’, BN masih ada harapan menang – Mahdzir

KUBANG PASU – Ahli UMNO di Kedah diingatkan agar tidak terkeliru dengan mainan persepsi pihak lawan di media sosial.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak lawan mencipta naratif songsang yang melampau menggunakan media sosial untuk mengeliru dan menghilangkan keyakinan pengundi terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya nak ingatkan kepada semua bahawa apa yang berlaku sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah mainan naratif songsang dan persepsi buruk melampau di media sosial oleh pihak lawan.

“Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini juga tidak terkecuali strategi yang sama juga sedang digunakan untuk sekali lagi mengelirukan pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Persiapan PRN DUN Bukit Kayu Hitam di Pejabat UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut mengingatkan ahli UMNO agar tidak lagi berpolemik dengan isu sejauh mana perjalanan gabungan BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sebaliknya kini adalah masa untuk menentukan kemenangan bersama dalam PRN sekaligus mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Saya mengharapkan sokongan mutlak daripada ahli-ahli UMNO, semangat saya seorang sebagai ketua tak cukup, saya perlukan sokongan semangat dan kerjasama daripada semua.

“Ahli-ahli UMNO sendiri jangan kalih ke lain dan sesiapa sahaja yang ditentukan oleh parti untuk menjadi calon nanti hendaklah kita sokong sepenuhnya,” ujarnya.

Selain itu katanya, PRN kali ini, Kedah bakal menjadi tumpuan seluruh negara berbanding Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Ini kerana katanya, keputusan PRN negeri-negeri tersebut sudah boleh dijangka berbanding di Kedah yang mana pengundinya lebih dinamik dan bijak dalam membuat penilaian.

“UMNO dan BN masih ada harapan untuk mencatat kemenangan dalam PRN kali ini berdasarkan situasi semasa sekarang agak berbeza sedikit dengan PRU lalu.

“Kita yakin boleh kalih semula Kedah, sebab Kedah adalah ‘sweet state’ yang mana rakyat Kedah cerdik dalam memilih. Jadi jika kita masuk dalam pilihan raya kali ini dengan cara yang betul dan tepat kita boleh menang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button