BERITA SEMASA

Remaja maut, anggota tentera cedera motosikal bertembung

PORT DICKSON – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut manakala seorang anggota tentera cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung di Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) menghala ke Port Dickson, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum bergesel dengan motosikal jenis SYM ditunggang anggota tentera berusia 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, insiden berkenaan menyebabkan kedua-dua penunggang terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di bahu kiri jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Port Dickson pada pukul 1.40 petang.

“Anggota tentera terbabit pula mengalami kecederaan di lutut dan tangan, dan kini menerima rawatan di zon kuning hospital sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syed Mohamad Naim di talian 014-5030810.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button