Sampah haram berleluasa di Dengkil, peranan penguatkuasaan dipertikai
DENGKIL – Beberapa kawasan di sekitar Dengkil dikenal pasti menjadi lokasi pembuangan sampah haram yang berleluasa sejak sekian lama antaranya di Bukit Damar, Batu 1 Jalan Air Hitam, Revolusi Hijau, Kampung Seri Tanjung dan Batu 32.
Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani berkata, isu itu telah berlarutan sejak sebelum tahun 2022 lagi, namun tiada sebarang tindakan tegas diambil meskipun aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) telah dikemukakan.
“Segala aduan telah dibuat, namun yang berlaku hanyalah pengeluaran saman. Selepas itu, aktiviti haram ini tetap beroperasi seperti biasa walaupun kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Menurutnya, antara jenis sampah yang dibuang termasuklah sisa makanan dan bahan binaan, malah terdapat juga kegiatan pembuangan sampah di kawasan lombong yang dikhuatiri mencemarkan alam sekitar dan sumber air.
“Sepatutnya perlu dibina penghadang jalan bagi menghalang lori sampah daripada memasuki kawasan ini atau setidaknya melaksanakan operasi berskala besar. Keadaan sekarang seolah-olah tiada undang-undang dikuatkuasakan di Dengkil,” tegasnya.
Katanya, terdapat juga kenderaan dipercayai milik ‘tonto’ yang dilihat berkeliaran di kawasan terbabit seolah-olah menjaga laluan keluar masuk ke lokasi pembuangan haram.
“Ketika pihak penguat kuasa turun padang, kenderaan tonto ini akan mengekori rapat kenderaan mereka,” katanya lagi.
Beliau yang turun sendiri meninjau lokasi berikutan aduan daripada penduduk kampung turut mendakwa penduduk berasa kecewa kerana tiada tindakan yang serius daripada pihak berkuasa tempatan.
“Penduduk memaklumkan kepada saya, pihak penguat kuasa hanya datang melihat tetapi tidak mengambil sebarang tindakan yang berkesan,” katanya.
Al Rasyid berharap satu tindakan drastik dapat diambil segera bagi menangani isu tersebut secara tuntas demi menjaga kesejahteraan dan kesihatan penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








